KENDERAAN yang memuatkan rokok seludup terbakardi Jalan Bechah Kelubi, Chekok Tok Uban. FOTO Ihsan Bomba
KENDERAAN yang memuatkan rokok seludup terbakardi Jalan Bechah Kelubi, Chekok Tok Uban. FOTO Ihsan Bomba
Syaherah Mustafa


SEBUAH kereta pelbagai guna (MPV) yang membawa muatan rokok seludup terbabas dan terbakar di Jalan Bechah Kelubi, Chekok Tok Uban di Pasir Mas, 11.30 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihaknya menerima laporan sebelum terus ke lokasi kejadian dan sebaik tiba pasukan Bomba dan Penyelamat sedang memadamkan kebakaran kereta Toyota Estima terbabit.

Katanya, hasil siasatan, kereta terbabit sebelum itu dikejar pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah kerana dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandu kenderaan itu berjaya meloloskan diri ke kawasan Tok Uban, Pasir Mas.

"Bagaimanapun, ketika anggota sampai, didapati tiada pemandu di lokasi kejadian dan menurut saksi, pemandu terbabit melarikan diri menaiki kereta Perodua Myvi berwarna biru dengan nombor pendaftaran yang tidak dapat dipastikan.

"Selain itu, hasil pemeriksaan menemui 10 kotak rokok pelbagai jenama yang berisi didalamnya 500 kartun rokok, manakala sebahagian lagi dijumpai tidak sempurna kerana terbakar dan terkena air," katanya kepada media, malam ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas nombor pendaftaran kenderaan juga mendapati ia didaftarkan atas pemilik yang beralamat di Kuala Lumpur.

"Namun, nombor chasis kenderaan tidak sama dengan chasis nombor pendaftaran ini yang mana tidak didaftarkan dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain tiada sebarang rekod kehilangan.

"Polis akan membuka satu Kertas Enkuairi Polis (KEP) bagi kes terbabit dan terus menjejaki suspek yang memandu kenderaan itu," katanya.

Katanya, kereta didapati musnah terbakar hampir 85 peratus dan dibawa bersama muatan rokok terbabit ke IPD Pasir Mas untuk pemeriksaan lanjut.

"Setakat ini suspek masih lagi belum dikenal pasti dan tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung dengan kes ini.

"Saksi kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat jika mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian ini.

"Tiada sebarang kecederaan membabitkan orang awam yang dilaporkan akibat kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 11:29 PM