X
ANTARA individu yang dikompaun di Penampang. FOTO Juwan Riduan
ANTARA individu yang dikompaun di Penampang. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SERAMAI 37 individu, termasuk dua penjaga premis ditahan dan dikompaun dalam operasi di dua restoran di Penampang selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Semua mereka ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ketika menjalankan pemantauan PKPB Op Covid-19, kira-kira 9 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan di dua restoran berkenaan mendapati seramai 24 pelanggan lelaki dan 11 pelanggan wanita sedang berkumpul.

"Semua mereka didapati melanggar PKPB dengan berkumpul di premis tanpa menjaga jarak sosial iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

"Semua pelanggan terbabit dibawa ke IPD Penampang bagi tindakan kompaun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, dua penjaga premis berkenaan berusia 33 dan 61 tahun ditahan bagi membantu siasatan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

"Selain itu, kes turut disiasat mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No 6) 2020," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai khususnya di daerah itu supaya sentiasa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Katanya, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang melanggar peraturan dan SOP PKPB ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 11:38 PM