X
KENDERAAN suspek. FOTO Ihsan Polis
KENDERAAN suspek. FOTO Ihsan Polis
Zuhainy Zulkiffli


BEBERAPA anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya berhampiran Queensbay, di Bayan Lepas, nyaris dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai mabuk, malam tadi.

Malah, suspek berusia 64 itu turut bertindak agresif ketika ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit yang berlaku pada 10.30 malam.

Katanya, dalam kejadian itu, suspek cuba melanggar anggota yang bertugas di sekatan jalan raya.

"Namun, anggota polis berkenaan sempat mengelak daripada dilanggar kenderaan pemandu itu.

"Lelaki yang tinggal di Taman Lip Sin itu, memandu kenderaan jenis Ford Fiesta dan dipercayai di bawah pengaruh alkohol," katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut Anbalagan berkata, anggota polis yang berada di sekatan jalan raya itu kemudian bertindak menahan suspek sejurus kejadian.

Namun, suspek bertindak agresif dan turut memaki hamun anggota yang bertugas.

"Ujian saringan awal pernafasan menggunakan alat 'Screening Device II' (SDII) mendapati bacaan kandungan alkohol melebihi tahap yang dibenarkan iaitu 218 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.

"Lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis bagi menjalani ujian saringan kedua," katanya lagi.

Pemandu berkenaan ditahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 8:52 AM