JUADAH Hari Raya yang diisi di dalam mangkuk tingkat berwarna-warni dihantar kepada 35 rakyat Malaysia. FOTO Facebook Embassy of Malaysia, Bangkok
JUADAH Hari Raya yang diisi di dalam mangkuk tingkat berwarna-warni dihantar kepada 35 rakyat Malaysia. FOTO Facebook Embassy of Malaysia, Bangkok
BERNAMA

RUMAH Terbuka Hari Raya yang dianjurkan Kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand, sentiasa dinanti-nantikan oleh diaspora dan penuntut Malaysia di negara Gajah Putih itu, yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.

Bukan sahaja memberi peluang buat rakyat Malaysia di luar negara menikmati hidangan tradisional Hari Raya yang istimewa, acara tahunan Rumah Terbuka Hari Raya itu juga mengeratkan silaturahim sesama rakyat Malaysia.

Namun, tahun ini sambutan perayaan itu dibatalkan bagi mematuhi arahan kerajaan Thailand untuk tidak berkumpul beramai-ramai, dalam usaha memutuskan penularan pandemik Covid-19 di negara tersebut.

Pembatalan sambutan itu bagaimanapun tidak menyekat usaha Kedutaan Malaysia di Bangkok untuk memeriahkan sambutan perayaan buat rakyat Malaysia di Bangkok dengan menghantar 'Tiffin Raya', iaitu juadah Hari Raya yang diisi di dalam mangkuk tingkat berwarna-warni.

Dengan nota serangkap pantun, 'Nasi impit di atas para, pilihan direbus di tepi Embassy, Tiffin dihantar sempena Raya, tanda Ingatan di Aidilfitri,' mangkuk tingkat itu dihantar kepada 35 rakyat Malaysia pada Jumaat.

Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Malaysia di Bangkok Suzilah Mohd Sidek berkata, kedutaan memutuskan untuk berkongsi juadah enak dengan pemimpin komuniti Malaysia, anggota komuniti yang aktif dan juga rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor.

"Kakitangan di kedutaan berganding bahu dalam menyediakan hidangan - nasi himpit, kuah kacang dan rendang ayam," katanya kepada Bernama.

Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) Dr Hwee Khim Boo, yang menerima mangkuk tingkat itu memuat naik hantaran di laman Facebook Kedutaan Malaysia, Bangkok dengan menulis: "Terima Kasih (Duta Malaysia ke Thailand) Datuk Jojie Samuel dan semua cef! Kami adalah rakyat Malaysia yang bertuah."

Aishah Adam pula menulis, "Dari lubuk hati saya, terima kasih banyak-banyak Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok... sangat gembira untuk Tiffin Raya yang indah... membuatkam kami berasa seperti di rumah."

Joanne Chung pula berkata: "Kami rakyat Malaysia yang sangat gembira menerima mangkuk bertingkat yang indah ini dengan juadah Hari Raya yang enak."

Thailand, negara luar pertama yang dikesan dengan kes Covid-19, mengisytiharkan perintah darurat bermula 26 Mac hingga 30 April dan melanjutkannya hingga 31 Mei dan kemudian 30 Jun, bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Kerajaan Thailand mula melaksanakan kelonggaran sekatan fasa pertama pada 3 Mei, manakala fasa kedua bermula 17 Mei dan fasa ketiga akan bermula esok, untuk melonggarkan lagi sekatan dan langkah termasuk membuka kembali lebih banyak perniagaan dan tempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 11:54 AM