LIMA lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. FOTO Ihsan PDRM.
LIMA lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. FOTO Ihsan PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


LIMA lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di lima lokasi sekitar Petaling Jaya, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 41 hingga 49 tahun itu ditahan dalam operasi bermula 11 malam hingga 3 pagi.

Menurutnya, seramai 308 pengguna jalan raya dan 279 kenderaan diperiksa dalam operasi itu.

"Lima individu itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 45 (a) 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, fokus utama operasi ini adalah membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol sehingga membahayakan dan menyebabkan kematian kepada orang lain.

"Tinjauan dalam operasi itu semalam jelas menunjukkan masih ramai pengguna jalan raya mengambil minuman keras sebelum memandu atau menunggang kenderaan.

"Tindakan ini dilihat membahayakan diri sendiri dan orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 12:14 PM