DATARAN Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir.
DATARAN Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Yusmizal Dolah Aling


DESAS-desus pertukaran kerajaan akan berlaku lagi dalam masa terdekat hanyalah perang psikologi untuk menghalang lebih ramai ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) menyertai Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis Politik Prof Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, dalam keadaan semasa, perkara itu dilihat tidak akan berlaku terutamanya ketika tumpuan diberikan untuk memerangi penularan wabak Covid-19.

Katanya, berdasarkan prestasi semasa, ada kemungkinan PH akan mengalami penolakan daripada pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) baru berdasarkan sentimen semasa rakyat ketika ini.

"Kita juga melihat jika Parlimen dibubarkan, PN mempunyai kelebihan yang besar dalam PRU baru kerana ia akan berperanan sebagai 'caretaker government' (kerajaan sementara).

"Apa yang berlaku, jika PH cukup nombor, mereka tidak akan mendedahkannya sebaliknya akan terus menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat PH yang berlangsung semalam antaranya membincangkan agenda mengenai perjalanan PH ke Putrajaya.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri pimpinan PH antaranya Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Kamarul berkata, dalam keadaan biasa, sudah tentu Yang di-Pertuan Agong tidak wajar diheret di dalam kancah politik sekali lagi selepas berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Mac lalu.

Isu peralihan sokongan ahli parlimen PN kepada PH menjadi topik hangat kebelakangan ini susulan beberapa status pemimpin PH yang mendakwa mereka mempunyai 129 kerusi untuk membentuk kerajaan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 1:09 PM