GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


PERAK mencatatkan satu kes baharu positif Covid-19 di daerah Kinta sehingga 12 tengah hari semalam.

Sebelum ini, Perak menjadi negeri keempat diisytiharkan zon hijau apabila keseluruhan daerah di negeri itu sifar Covid-19 pada 30 April lalu.

Berikutan itu, pertambahan kes berkenaan menjadikan hanya tiga negeri kekal bebas pandemik berkenaan iaitu Perlis, Pulau Pinang dan Terengganu.

Selain Kinta, dua lagi daerah turut mencatatkan satu kes baharu positif Covid-19 iaitu Presint 17, Putrajaya dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini juga menunjukkan lima daerah masih berada dalam zon merah.

Daerah terbabit adalah tiga di Kuala Lumpur iaitu Bukit Jalil yang mencatatkan kes tertinggi positif Covid-19 dengan 284 kes, diikuti ibu kota Kuala Lumpur (167) dan Pudu (41), Hulu Langat, Selangor (125) serta Rembau, Negeri Sembilan (84).

Kuala Lumpur adalah negeri tertinggi jangkitan Covid-19 yang mencatatkan jumlah keseluruhan 2,020 kes.

Sehingga semalam, Malaysia merekodkan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 7,762 kes dan 1,317 kes aktif yang masih dirawat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 2:22 PM