Nor Farhani Che Ad


EMPAT lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini atas pertuduhan memecah sebuah kiosk menjual emas di sebuah pasar raya di Sungai Petani pada 10 Mei lalu.

Tertuduh, Mohd Amirul Syazwan Zamri, 24, Anuar Aziz, 39, Harmizan Kassim, 40, dan Zakaria Hasan, 56, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.

Mereka bersama dua individu yang masih bebas didakwa memecah kiosk Kedai Emas Goldfinch Jewellery dengan melarikan peti besi mengandungi emas dan wang tunai bernilai lebih kurang RM530,000 kepunyaan kedai emas berkenaan pada 4 pagi.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husnah Omar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Nurliyana Mohd Radzi.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Jun depan.

Sementara itu, Anuar turut didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan rumah berpagar di Taman Patani Jaya, Sungai Petani pada 3 pagi, 1 September 2019.

Anuar mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan dibenarkan ikat jamin RM3,000 sebelum hukuman dijatuhkan pada 14 Jun depan.

ORANG ramai yang hadir ke IPD Kuala Muda untuk membuat permohonan rentas negeri. FOTO Nor Farhani Che Ad
ORANG ramai yang hadir ke IPD Kuala Muda untuk membuat permohonan rentas negeri. FOTO Nor Farhani Che Ad

Manakala, Harmizan dituduh semula kerana menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki di tepi jalan berdekatan kedai makan di Bandar Seri Astana, Sungai Petani pada 11.30 pagi, 18 Disember 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan tertuduh tidak mengaku salah.

Mahkamah membenarkan Harmizan diikat jamin RM5,000 dan sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 2:28 PM
EMPAT tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memecah sebuah kiosk menjual emas di Pasar Raya CMart Amanjaya Mall pada 10 Mei lalu. FOTO Nor Farhani Che Ad
EMPAT tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memecah sebuah kiosk menjual emas di Pasar Raya CMart Amanjaya Mall pada 10 Mei lalu. FOTO Nor Farhani Che Ad