ORANG ramai yang hadir ke IPD Kuala Muda untuk membuat permohonan rentas negeri. FOTO Nor Farhani Che Ad
ORANG ramai yang hadir ke IPD Kuala Muda untuk membuat permohonan rentas negeri. FOTO Nor Farhani Che Ad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PERMOHONAN merentas negeri bagi suami atau isteri tinggal berjauhan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh dibuat di mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Balai Polis di seluruh negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasangan yang tinggal berjauhan perlu membawa surat kebenaran dari mana-mana Ketua Balai Polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR).

"Kerajaan sudah memberikan kebenaran untuk mana-mana pasangan yang tinggal berjauhan untuk melakukan perjalanan rentas negeri esok dan mereka sudah boleh memohon kebenaran pada masa ini.

"Hanya ke balai polis dan kebenaran tidak akan dapat dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia," katanya ketika dihubungi.

Abdul Hamid berkata, selain hubungan jarak jauh, permohonan untuk pergerakan rentas negeri di balai polis juga turut merangkumi urusan kecemasan seperti kematian dan mendapatkan perubatan.

"Pada masa ini aplikasi Gerak Malaysia masih boleh dilakukan untuk perjalanan rentas negeri hanya bagi pekerjaan membabitkan 'essential service' (sektor penting)," katanya.

Mulai esok (1 Jun) semua pasangan yang tinggal berjauhan boleh membuat perjalanan rentas negeri dengan menunjukkan surat kebenaran dari balai polis kepada mana-mana SJR dan ketika diperiksa oleh pasukan pemantau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berita berkaitan:

  • Suami isteri 'PJJ' boleh rentas negeri esok
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 2:43 PM