RAHSIA sebuah rumah teres dua tingkat di Permas Jaya, Johor Bahru terbongkar apabila serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah pagi ini menemukan arak dan rokok seludup bernilai RM1.4 juta.

Dalam serbuan 8.30 pagi itu, 500 kotak mengandungi 4,903 liter wiski bernilai RM1.12 juta serta 120,000 batang rokok putih bernilai RM169,000 dan wang tunai bernilai RM20,800 dirampas.

Komander PGA Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, sindiket terbabit dipercayai beroperasi hampir empat bulan lalu dengan menjual barang seludup kepada peruncit dan kedai makan sekitar zon Selatan.

ARAK yang dirampas daripada seorang lelaki. FOTO Ihsan PGA.
ARAK yang dirampas daripada seorang lelaki. FOTO Ihsan PGA.

Katanya, selain arak dan rokok seludup, 36 keping salinan kad pengenalan turut dirampas yang dipercayai digunakan bagi tujuan membeli arak dengan kuota tertentu di zon bebas cukai.

"Ketika serbuan terdapat empat lelaki tempatan berusia 20 hingga 30 berada di lokasi berperanan sebagai penjaga stor simpanan dan logistik.

"Sindiket menggunakan tiga kereta yang diubahsuai dengan menanggalkan kerusi tempat duduk belakang dan mengeluarkan tayar simpanan bagi memuatkan barang seludup," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Muhammad, pihaknya percaya masih ada saki baki sindiket yang aktif dan usaha menjejaki mereka sedang dilakukan.

MUHAMMAD (kiri) melihat arak seludup jenis whiski hasil serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Permas Jaya. FOTO OMAR AHMAD
MUHAMMAD (kiri) melihat arak seludup jenis whiski hasil serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Permas Jaya. FOTO OMAR AHMAD

Katanya, serbuan adalah hasil maklumat awam dan intipan yang dilakukan sejak dua minggu lalu.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, bermula Januari tahun ini, PGA Briged Tengah yang meliputi kawasan Selatan dari Selangor hingga Johor membuat 67 tangkapan dan rampasan menerusi Ops Nyah serta Ops Benteng Covid

Sebanyak 46 kes adalah tindakan di negeri Johor manakala 21 kes di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 3:29 PM