MUN Anak Nyanggau (kiri) bersama rakan tugasan menunjukkan ucapan Hari Gawai yang diterimanya di sekatan jalan raya (SJR) Jementah disini. FOTO AHMAD ISMAIL
MUN Anak Nyanggau (kiri) bersama rakan tugasan menunjukkan ucapan Hari Gawai yang diterimanya di sekatan jalan raya (SJR) Jementah disini. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


KAD ucapan dijadikan pembakar semangat bagi Inspektor Mun Nyanggau, 29, yang terpaksa bertugas ketika sambutan Hari Gawai tahun ini.

Mun yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat itu menerima kad ucapan dalam tulisan bahasa Melayu, Inggeris, Jawi dan Cina daripada rakan setugas dan juga orang awam di lokasi sekatan jalan raya (SJR) Jementah, Segamat.

Katanya, biarpun tidak dapat meraikan Hari Gawai bersama keluarga, namun meraikannya bersama rakan menjadi kenangan manis dalam hidupnya.

"Walaupun kad ucapan ringkas, saya amat menghargainya dan anggap ia kenangan manis memori ketika bertugas," katanya ketika ditemui di SJR Jementah, hari ini.

Katanya, dia tidak dapat pulang menyambut Hari Gawai di Sibu, Sarawak kerana perlu bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Mesti ada kerinduan kepada keluarga terutamanya suasana meriah ketika sambutan Hari Gawai di rumah panjang. Tetapi mereka memahami tugas saya sebagai pegawai polis.

"Hari Gawai tahun ini memang berbeza kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial sama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 3:49 PM