Hayati Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


SUKAN bola sepak masih tidak dibenarkan buat masa ini kerana boleh berlaku sentuhan fizikal yang berbahaya kepada pemain.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh memohon kebenaran dengan menyediakan Prosedur Standard Operasi (SOP) untuk liga bola sepak beraksi semula.

Beliau berkata, sukan mempunyai dua isu iaitu penonton yang memang tidak dibenarkan kerana membabitkan perhimpunan ramai.

Menurutnya, keduanya sukan itu sendiri ada dua kategori iaitu tanpa ada sentuhan fizikal seperti joging dan badminton tetapi bola sepak berlaku sentuhan fizikal.

"Apabila main bola badan berpeluh dan berlaku pertembungan fizikal yang sangat bahaya kepada pemain, sebab itu kita tidak benarkan.

"Bagaimanapun apabila Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKBP) ditamatkan nanti... tidak tahu bila, jika ia tamat FAM boleh merayu dan memohon kebenaran untuk sukan itu dibenarkan semula," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, tarikh untuk memberi kebenaran itu tertakluk kepada perbincangan yang akan dilakukan nanti.

FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.

"Mereka boleh sediakan SOP ketika membuat permohonan itu nanti dan saya akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan mengenai hala tuju liga bola sepak, latihan dan sebagainya.

"Saya harap persatuan bola sepak negeri tidak mengeluarkan SOP sendiri kerana setiap keputusan akan ditentukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di pusat," katanya.

Beliau tidak mahu ada persatuan bola sepak negeri mengeluarkan arahan untuk membenarkannya kerana ia menyalahi undang-undang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 4:48 PM