Siti Rohana Idris


SEMBILAN pasukan membabitkan tiga balai polis berhampiran sempadan negara jiran di daerah Tumpat diperketatkan penugasan dalam memastikan aktiviti lintas sempadan tidak berlaku.

Semua pasukan pemantau itu adalah dari Balai Polis Kuala Jambu, Balai Polis Simpangan dan Balai Polis Pengkalan Kubor termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, pasukan itu ditubuhkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghalang pergerakan keluar masuk sama ada dari Kelantan atau negara jiran khususnya Selatan Thailand.

"Semua anggota pasukan ini melakukan penugasan selama 24 jam sehari di sepanjang jarak 21.4 kilometer bermula di Kuala Takbhai sehingga ke Kuala Jambu.

"Ini membuktikan kami sangat serius dalam mengekang aktiviti lintas sempadan dan tiada pembolosan berlaku sepanjang tempoh PKP Fasa Satu lagi," katanya ketika ditemui di Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.

Ab Rashid Mat Daud (kiri) meninjau situasi terkini di pangkalan haram Simpangan FOTO SITI ROHANA IDRIS.
Ab Rashid Mat Daud (kiri) meninjau situasi terkini di pangkalan haram Simpangan FOTO SITI ROHANA IDRIS.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan di pengkalan haram Nibong dan Balai Polis Pengkalan Kubor yang bersempadan dengan negara jiran dan dipisahkan oleh Sungai Golok.

Turut hadir, Timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli dan Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad.

Ab Rashid berkata, beliau memberi jaminan bahawa sempadan negara tidak akan dibolosi kerana agensi keselamatan lain turut menjalankan penugasan sama.

"Agak mustahil jika masih lagi wujud pergerakan lintas sempadan kerana Pasukan Gerakan Am (PGA) dan PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor turut melakukan penugasan menjaga sempadan perairan negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 5:11 PM