ANGGOTA polis dan tentera membuat pemeriksaan di Plaza Tol Gombak menghala ke Kuala Lumpur susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Mustaffa Kamal
ANGGOTA polis dan tentera membuat pemeriksaan di Plaza Tol Gombak menghala ke Kuala Lumpur susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Mustaffa Kamal
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


MASIH ada individu dikesan mengambil kesempatan melakukan rentas negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan melakukan perjalanan rentas negeri adalah tidak wajar untuk mengekang dan menghalang penyebaran Covid-19.

"Saya merayu kepada semua pihak untuk mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan demi kebaikan kita bersama menyekat pandemik Covid-19.

"Janganlah cuba mengambil kesempatan yang diberikan kerajaan untuk terus melakukan kesalahan dengan melanggar peraturan PKPB dan melakukan rentas negeri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Hamid berkata, polis juga tidak gembira untuk mengambil tindakan mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang melakukan kesalahan melanggar PKPB.

"Apa yang kami harapkan adalah supaya orang ramai yang tidak mempunyai urusan kecemasan atau terbabit dalam sektor penting untuk terus berada di rumah bukan keluar menziarah hari raya, berjalan rentas negeri bersama keluarga dan tidak melakukan penjarakan sosial di tempat awam.

"Kami bukan beriya-iya nak keluarkan saman dan kompaun namun mengharapkan orang ramai patuh pada arahan yang sudah ditetapkan oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Beliau berkata, polis sendiri sedia maklum dengan pengoperasian semula beberapa sektor penting bermula hari ini selaras dengan keputusan kerajaan namun ianya bukan lesen untuk orang ramai bergerak bebas serta melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Ingatlah, objektif utama kami adalah membendung, menyekat dan menghalang penularan serta penyebaran Covid-19 dan kepada mereka yang tidak berkenaan, kekallah di rumah sehingga PKPB ini berakhir," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 5:25 PM