NIK Mohamad Abduh. FOTO /RAMLI IBRAHIM
NIK Mohamad Abduh. FOTO /RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


"ISU air di Kelantan sudah lama dan semasa Allahyarham bapa saya (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) masih ada lagi pun tidak pernah selesai.

"Malah, kediaman arwah bapa di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu terpaksa digali telaga untuk mendapatkan air bersih."

Begitu kata Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengharapkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama ada di peringkat pusat dan Kelantan dapat menyelesaikan isu berkenaan.

Menurutnya, beliau menerima banyak rungutan daripada rakyat berhubung masalah air bersih yang terputus dan ada sesetengah tempat pula berkeladak.

"Kita kena faham masalah yang berlaku itu kerana kekurangan peruntukan bagi melaksanakan projek menaik taraf bekalan air ke seluruh negeri (Kelantan) ini," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi agensi itu di Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang, hari ini.

Sebelum ini, isu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dibangkit penduduk di seluruh negeri berikutan kegagalan syarikat utiliti terbabit memberi kesempurnaan dalam penggunaan air harian.

Nik Mohamad Abduh berkata, terdapat sedikit perubahan untuk menaik taraf kemudahan itu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Katanya, kerajaan Kelantan tidak berkemampuan kecuali menerima pertolongan kerajaan pusat sekali gus dapat menyelesaikan isu lama yang berlarutan itu.

"Saya harap mereka yang berada di Kabinet dapat capai semua kata putus bagaimana nak menangani isu air di Kelantan.

"Isu air di Kelantan ini dibangkitkan sejak 1990-an lagi hingga dijadikan isu politik oleh pihak tertentu tetapi kita reda selagi ia belum selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 5:27 PM