SEMBILAN individu dikompaun kerana menyelam di perairan Miri tanpa kebenaran dan ingkar arahan Perintah  Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini. FOTO NORSYAZWANI NASRI
SEMBILAN individu dikompaun kerana menyelam di perairan Miri tanpa kebenaran dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri menahan sembilan individu yang menggunakan sebuah bot selepas disyaki melakukan aktiviti menyelam di perairan Miri kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten (M) Md Fauzi Othman berkata, sebuah bot dikesan menjalankan aktiviti rekreasi menyelam pada jarak lebih kurang 12.7 batu nautika dari perairan Miri oleh bot ronda APMM.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan surat kebenaran untuk melakukan aktiviti menyelam terbabit.

"Sembilan individu terbabit dibawa ke balai polis untuk dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar PKPB)," katanya dalam satu kenyataan di Miri, hari ini.

Beliau berkata, APMM mengingatkan agar semua komuniti maritim terutama pada pengusaha bot yang menjalankan aktiviti rekreasi seperti bot pemancing dan menyelam agar mematuhi PKPB yang sedang dilaksanakan.

Menurutnya, semua aktiviti berkaitan pelancongan dan rekreasi hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada jabatan berkaitan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 10:32 PM