ANGGOTA polis menjalankan ujian nafas ke atas pemandu dalam Op Mabuk. FOTO Juwan Riduan
ANGGOTA polis menjalankan ujian nafas ke atas pemandu dalam Op Mabuk. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


LIMA lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Ops Mabuk di beberapa lokasi sekitar Penampang dan Putatan, semalam.

Dalam operasi sempena musim perayaan itu, polis turut mengeluarkan 21 saman terhadap pemandu dan penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepanjang musim perayaan ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kerjasama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah memperbanyakkan sekatan jalan raya bagi memantau keselamatan jalan raya di daerah itu.

"Dalam operasi di Jalan Bundusan, kita berjaya menahan lima lelaki kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan.

"Selain itu, dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan sebanyak 21 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Haris berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.

Menurutnya, operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha mengesan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 11:45 AM