Antara ahli Jurupandu mendaki dihadapan bangunan pendaftaran di Taman Negara Gunung Ledang, Sagil. FOTO Ahmad Ismail
Antara ahli Jurupandu mendaki dihadapan bangunan pendaftaran di Taman Negara Gunung Ledang, Sagil. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


"KAMI tiada pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," kata bekas Pengerusi Jurupandu Mendaki di Taman Negara Gunung Ledang, Sagil, Fakhrul Annuar Mohamed Shukri, 35.

Bagaimanapun, Fakhrul Annuar berkata, dia bersyukur kerana mempunyai sedikit simpanan yang dikumpul sepanjang menceburi bidang ini sejak 2012.

"Simpanan itu dapat membantu kami sekeluarga berdepan keadaan sukar terutama untuk membeli keperluan asas," katanya ditemui di Sagil dekat Tangkak, hari ini.

Fakhrul Annuar berkata, dia turut menjual pelbagai makanan sepanjang Ramadan secara dalam talian untuk menambah pendapatan.

Namun, katanya, dia tidak dapat melakukannya secara kerap berikutan kekangan masa selepas menyertai Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebelum wabak Covid-19 melanda.

"Saya turut berbincang dengan rakan lain mencari idea bagi mendapatkan rezeki berdasarkan kemahiran sebagai jurupandu sementara larangan pendakian masih berkuat kuasa," katanya.

Menurutnya, walaupun sudah tidak mendaki, tetapi dia tetap melakukan aktiviti senaman sekitar atau dalam kediaman sepanjang PKP dan PKPB.

"Selaku jurupandu pendakian profesional, saya harus mengekalkan tahap stamina kerana setiap pendakian biasa memerlukan kecergasan berada pada tahap maksimum," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 2:45 PM