PENIAGA meletakkan pita pelekat bagi mengekalkan jarak sosial sebelum memulakan operasi perniagaan di Pasar Payang, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
PENIAGA meletakkan pita pelekat bagi mengekalkan jarak sosial sebelum memulakan operasi perniagaan di Pasar Payang, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


SEBANYAK 1,981 lokasi tumpuan awam di Terengganu diperiksa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, ia membabitkan pemeriksaan dan pemantauan di masjid, pasar raya, restoran, kedai makan, bank, bengkel, pasar, tempat awam dan lain-lain tempat di seluruh negeri bermula 11 Mei hingga semalam.

"Terbaharu, sebanyak 97 premis termasuk empat masjid di Besut, 16 pasar raya di semua daerah, 18 restoran dan kedai makan di semua daerah kecuali Dungun dan Setiu serta 15 bank di semua daerah kecuali Marang dan Hulu Terengganu diperiksa dalam tempoh 24 jam bermula jam 8 pagi kelmarin.

"Pemeriksaan turut dilakukan di sebuah bengkel di Besut, tiga pasar iaitu satu di Dungun dan dua di Besut, 16 lagi di tempat bebas iaitu masing-masing enam di Besut, Hulu Terengganu (tiga) dan tujuh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu serta 24 lagi di lain-lain tempat di semua daerah kecuali Kemaman dan Besut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam tempoh sama, Roslee berkata, seramai 11,516 individu diperiksa terdiri daripada 7,273 lelaki dan 4,243 wanita dengan 130 daripadanya dikenakan kompaun selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan yang mengingkari PKPB.

"Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 747 individu ditangkap terdiri daripada 713 lelaki dan 34 wanita.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 475 kertas siasatan berkaitan Covid-19 dibuka dengan 403 kes sudah dituduh di mahkamah membabitkan seramai 633 pesalah, 67 kes pula tiada arahan tindakan lanjut (NFA) manakala lima lagi masih dalam siasatan.

"Kuala Terengganu dan Kuala Nerus merekodkan jumlah pertuduhan tertinggi iaitu membabitkan 170 individu diikuti Dungun (157 individu), Kemaman (143 individu), Besut (74 individu), Marang (65 individu), Hulu Terengganu (13 individu) dan Setiu (11 individu).

"Kita akan sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi-lokasi tumpuan di seluruh Terengganu bagi memastikan masyarakat sentiasa patuh dengan SOP ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 3:14 PM