FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


CAJ melampau di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), itu taktik terbaru along yang dikesan mengambil kesempatan di atas kesukaran peminjam membuat bayaran balik.

Dengan kadar faedah mingguan yang tidak masuk akal, ceti haram juga menuntut bayaran berkali ganda daripada kadar pinjaman asal menyebabkan mereka terjerat.

Terbaru, seorang peniaga minuman herba kini bergelut untuk membayar tuntutan along berjumlah RM1.5 juta selepas membuat pinjaman April lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Alex, 60 berkata, dia membuat pinjaman itu untuk mengembangkan perniagaannya yang diusahakan sejak lebih sepuluh tahun lalu.

"Saya buat pinjaman RM400,000 ketika awal PKP dan membayar secara mingguan. Pada mulanya saya berurusan dengan seorang along dari ibu negara yang meluluskan pinjaman itu.

"Selang beberapa minggu, saya perlu membayar RM7,000 setiap tiga hari dan tidak lama selepas itu along berkenaan meminta saya membayar seminggu RM4,000," katanya ketika membuat aduan kepada Pengerusi Gerakan Banteras Ceti Haram (GBCH), Azman Kang Abdullah di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, dalam tempoh itu, dia sudah melangsaikan sejumlah RM700,000, jauh melebihi pinjaman yang dibuat, namun along berkenaan berterusan meminta bayaran.

Bukan itu saja, dia juga berdepan dengan 17 along lain dipercayai dari rangkaian sama yang mendakwa mempunyai hak ke atas pinjaman dibuatnya itu.

"Ketika PKP ini, saya akui perniagaan merosot teruk. Saya tidak dapat membayar seperti jumlah yang diminta.

"Kemudian along itu ugut untuk mengambil tindakan ke atas saya dan menuntut bayaran keseluruhan RM1.5 juta," katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Durian Tunggal, Melaka berhubung perkara itu.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan along berkenaan bagi menjadualkan semula jumlah hutang mangsa.

Katanya, jumlah tuntutan yang terlalu tinggi menyebabkan mangsa tertekan dengan keadaan dan takut untuk berurusan dengan orang lain.

"Kita sudah buat kiraan, jika dia berterusan membayar pinjaman ini, dalam tempoh tidak sampai setahun, semua aset yang ada terpaksa dijual, itu pun belum tentu cukup.

"Justeru saya menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya percaya dengan tawaran along kerana ia akan menjerat mereka. Banyak aduan yang kita terima begini ketika PKP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:27 PM