Mayat mangsa yang maut dalam kemalangan akibat dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran HSB. FOTO IHSAN PEMBACA
Mayat mangsa yang maut dalam kemalangan akibat dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran HSB. FOTO IHSAN PEMBACA
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam maut dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan stesen minyak berhampiran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.25 pagi itu, mangsa, Pung Ching Leong, 47, dari Taman Teratai, Jalan Langgar itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Senior Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Viva dipandu penjawat awam berusia 38 tahun itu dari arah Pokok Sena menghala ke pusat bandar.

Beliau berkata, pemandu kereta itu yang memandu di lorong kanan melanggar mangsa yang sedang berjalan kaki dan melintas dengan tiba-tiba dari kiri ke kanan jalan.

"Akibat daripada itu, mangsa jatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Penjawat awam yang bekerja di Pulau Pinang itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Mohd Rozi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:49 PM