KEMALANGAN di Km 275.2 Plus dekat Seremban. FOTO ihsan Bomba
KEMALANGAN di Km 275.2 Plus dekat Seremban. FOTO ihsan Bomba
Mohd Amin Jalil


DUA anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Seremban, hari ini.

Kemalangan berlaku di Kilometer 275.2 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, 11.18 pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy berkata mangsa ialah Jasali Kilih, 38 dan M Malvinder Sing, 37.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala, dada, badan dan tangan serta dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban.

"Ketika pihak bomba tiba di lokasi, kenderaan dipandu anggota berkenaan didapati terbalik di tengah lebuh raya dan kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam.

"Berdasarkan saksi kejadian, kedua-dua anggota polis berkenaan sedang membuat tugasan dan menuju ke Nilai.

"Ketika berada di laluan itu secara tiba-tiba kereta dari arah belakang memotong dan pemandunya tidak sempat mengelak dan hilang kawalan serta terbabas di pembahagi jalan dan terbalik," katanya.

Sementara itu, kemalangan berkenaan menyebabkan berlaku kesesakan kenderaan kira-kira empat kilometer iaitu bermula dari susur keluar Plaza Tol Bandar Ainsdale sehingga ke R&R Seremban.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:50 PM