Nurul Amanina Suhaini


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat merampas dadah bernilai RM2.67 juta menerusi Op Benteng Laut di kedudukan 1.5 batu nautika barat laut Parit Jawa, Muar, awal pagi, hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, seorang pegawai dan lima anggota terserempak dengan dua lelaki bersama sebuah bot fiber ketika melakukan pemantauan kegiatan penyeludupan di pesisiran pantai, kawasan muara Parit Samsu, pada 2.10 pagi.

"Apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua suspek melarikan diri ke arah hutan bakau berhampiran dan tiada tangkapan dibuat.

"Pemeriksaan di kawasan itu penguat kuasa menemui dua guni dipercayai dicampak ke dalam semak atau hutan bakau berhampiran yang mengandungi bungkusan disyaki dadah.

"Pemeriksaan lanjut ke atas guni pertama mendapati terdapat 24 bungkusan hitam yang mengandungi serbuk putih disyaki syabu seberat kira-kira 24 kilogram, yang mana nilai pasaran bagi satu gram dianggarkan RM80 hingga RM100.

"Pemeriksaan ke atas guni kedua pula mengandungi lapan bungkusan hitam disyaki pil ekstasi seberat kira-kira 14.7 kilogram, yang mana nilai pasaran bagi satu pil dianggarkan RM20 hingga RM30," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Johor, hari ini.

Beliau berkata, ia adalah rampasan dadah terbesar tahun ini.

Katanya, semua rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Batu Pahat untuk disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai ada kaitan dengan tangkapan yang dibuat pihaknya dalam operasi di Parit Jawa, Muar, pada 21 Mei lalu.

"Antara kawasan panas yang dikenal pasti menjadi lokasi kegiatan ini adalah di kawasan Johor Barat di sepanjang 125 batu nautika (231 kilometer) membabitkan Muar, Batu Pahat dan Pontian.

"APMM Johor akan terus mempergiatkan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam memastikan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan pelanggaran undang-undang dapat dibanteras supaya perairan Johor khususnya Batu Pahat selamat dan terkawal.

"Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan menerusi talian hotline Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-434 4020 atau talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof (tengah) menunjukkan rampasan adah bernilai kira-kira RM2.67 juta menerusi Op Benteng Laut di kedudukan 1.5 batu nautika barat laut Parit Jawa, Muar, awal pagi tadi. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof (tengah) menunjukkan rampasan adah bernilai kira-kira RM2.67 juta menerusi Op Benteng Laut di kedudukan 1.5 batu nautika barat laut Parit Jawa, Muar, awal pagi tadi. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:50 PM