GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


DITEMUI mati terbaring dengan kesan luka di dada dan belakang tubuh di bahu jalan berhampiran Jalan Sungai Pinang, Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Difahamkan, mangsa warga India itu, Settu Ezhilarasan, 21, dijumpai orang awam dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah, 4.12 petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan luka melintang dipercayai senjata tajam di bahagian dada sebelah kanan dan belakang badan mangsa.

"Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menjumpai satu topi keselamatan manakala tali keselamatan terlilit di badan mangsa. Tiga kesan cap jari turut berjaya ditimbulkan pada topi keselamatan itu.

"Turut dijumpai dalam jarak 200 meter dari mayat mangsa adalah dua kesan darah, dua pasang sarung tangan plastik, satu jaket keselamatan dan satu baldi mengandungi dua plastik berisi darah.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat lain dan dibawa ke lokasi kejadian menggunakan kenderaan pacuan empat roda berdasar kesan tayar ditemui berhampiran mangsa dan juga baldi yang digunakan untuk menadah darah mangsa," katanya tadi.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mendapati mangsa mengalami kecederaan luka selain tusukan disyaki 'forklift'.

Katanya, polis masih berusaha untuk mengesan lokasi kejadian yang sebenar dan butir-butir kejadian sedang giat dijalankan.

"Ketika ini, kita belum dapat kepastian sama ada kes ini adalah kes bunuh atau kemalangan bagaimanapun buat masa ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:55 PM