Siti Rohana Idris


BERINTERAKSI dengan anak menghidap Cerebral Palsy sememangnya sukar namun bagi Zaimah Mamat dari Kampung Tunjong Dalam, Kota Bharu, dia memahami kehendak anak istimewanya itu melalui kerdipan matanya.

Menguruskan Nur Qaisara Damia Mohd Ros, 12, yang terlantar sejak lahir menjadikan Zaimah, 41, memahami perasaan anak sulung dari tiga beradik itu walaupun tidak berkomunikasi secara normal.

Zaimah berkata, anak yang mesra disapa sebagai Kak Long itu setiap hari diajak berkomunikasi walaupun dia menyedari tidak menerima tindak balas sama sebaliknya hanya kerdipan mata untuk mengiya atau menidakkan sesuatu.

"Setiap hari saya akan berbual dengan Kak Long terutama jika menyedari ada rasa tidak selesa di raut wajahnya sama ada inginkan sesuatu atau rasa sakit di mana-mana anggota badan.

"Jika tekaan saya betul (merujuk kepada anggota badan yang sakit), Kak Long akan mengerdip matanya beberapa kali dan jika tidak saya akan terus 'meneka'.

"Jika Kak Long tidak selesa disebabkan belum mandi sekalipun dia akan menunjukkan raut wajah yang seakan rimas kerana rutin itu (mandi) akan dilakukan tiga kali setiap hari," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Zaimah berkata, sejak lebih seminggu lalu, anak syurganya itu kerap merengek disebabkan lubang di perutnya ditebuk bagi menyalurkan susu dijangkiti kuman menyebabkan bernanah dan berair.

Dia berkata Nur Qaisara sudah dirujuk ke Unit Kecemasan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) baru-baru ini dan diberikan ubat namun keadaannya masih tidak berkurangan.

Katanya lagi, sebelum ini Nur Qaisara minum susu melalui tiub disalurkan di hidung tapi sejak tiga tahun lalu ia beralih kepada tiub ditebuk di abdomennya dan ia kali pertama jangkitan kuman seperti itu berlaku.

"Pada mulanya Kak Long hanya menangis seolah menahan sakit dan saya menyedari sekitar perutnya yang dimasukkan tiub itu membengkak dan mengeluarkan cecair diikuti nanah dan darah.

"Kami segera membawanya ke hospital dan Rabu ini sekali lagi akan dirujuk kepada doktor pakar bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Zaimah berkata, dari segi perbelanjaan menguruskan Nur Qaisara, keluarganya berdepan kekangan kewangan namun masih mampu menarik nafas lega kerana anaknya itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan.

Dia berkata suaminya hanya bekerja sebagai anggota RELA dan secara purata menerima pendapatan secara elaun kira-kira RM1,500 sebulan dan hanya 'cukup makan' bagi perbelanjaan mereka lima beranak termasuk dua lagi anak berusia tujuh dan 11 tahun.

"Perbelanjaannya juga mencecah RM1,000 sebulan merangkumi susu dan lampin pakai buangnya malah kami juga menumpang rumah ibu bapa," katanya.

ZAIMAH menguruskan Nur Qaisara Damia yang terlantar sejak lahir akibat menghidap Cerebral Palsy ketika ditemui di Kampung Tunjong Dalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ZAIMAH menguruskan Nur Qaisara Damia yang terlantar sejak lahir akibat menghidap Cerebral Palsy ketika ditemui di Kampung Tunjong Dalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 5:03 PM