S Priaangka yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai 10 Mei lalu belum ditemui. FOTO Ihsan keluarga.
S Priaangka yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai 10 Mei lalu belum ditemui. FOTO Ihsan keluarga.
Essa Abu Yamin


"KAMI sekeluarga tidak akan berputus asa dan terus mencari Priaangka hingga jumpa walaupun sudah 23 hari dia hilang tanpa khabar berita," kata T Ramesh, 47, bapa saudara kanak-kanak perempuan, yang hilang dipercayai lemas akibat terjatuh ke sungai di Parit Bugis, Panchor, Muar, 10 Mei lalu.

Ramesh berkata, S Priaangka berusia 10 tahun yang dijaga datuk dan neneknya kerana ibu bapanya bekerja di luar kawasan adalah seorang kanak-kanak ceria dan manja.

"Tragedi itu membawa kesan kepada kami sekeluarga dan kehilangan Priaangka amat dirasai apatah lagi dia belum ditemui sehingga hari ini.

"Pada petang kejadian Priaangka begitu seronok bermain bersama beberapa sepupunya di dalam rumah tetapi tidak tahu bagaimana dia boleh hilang sekelip mata," katanya ketika dihubungi, hari ini

Katanya, ketika kejadian hujan lebat dan ada saksi memberitahu ternampak Priaangka ke kawasan parit yang terletak hampir 300 meter dari rumahnya.

"Kami sekeluarga hanya mampu berdoa dan berserah kepada Tuhan dan sehingga hari ini kami sekeluarga masih berusaha mencari Priaangka walaupun tiada sebarang petunjuk yang membolehkan kami menemuinya.

"Ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa dan masyarakat kampung yang tidak putus memberi bantuan serta membantu kami sekeluarga mencari Priaangka sehingga hari ini," katanya.

Pada 10 Mei lalu, Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak perempuan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras di Parit Bugis, Panchor, Muar, pada 6.22 petang.

Sementara itu, Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba II, Emil Taihin @ Toihin berkata, operasi bersepadu mencari dan menyelamat (SAR) yang dilaksanakan sejak 10 Mei ditamatkan sehingga 16 Mei lalu kerana gagal menemukan mangsa.

"Walaupun SAR sudah ditamatkan, tindakan pemantauan tetap dilakukan oleh pihak bomba, dibantu oleh polis dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berita berkaitan

Operasi SAR Priaangka dihentikan

Hari ketujuh, Priaangka belum ditemukan

Belum jumpa

Kanak-kanak hilang dihanyut arus deras

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 5:19 PM