ANGGOTA polis mengiringi tertuduh yang didakwa secara mabuk dan menyebabkan kematian penghantar makanan. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh yang didakwa secara mabuk dan menyebabkan kematian penghantar makanan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Raja Noraina Raja Rahim


LESEN memandu pemandu Nissan Grand Livina yang dituduh memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian penghantar makanan, awal pagi tadi, digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur turut menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 1 Julai depan.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh, Khor Yong Zhang, 20, diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Yong Zhang, 20, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang mana kandungan alkohol di dalam badan sebanyak 161 mg/100 ml iaitu melebihi had ditetapkan sebanyak 80 mg/100 ml.

Justeru, tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan dan menyebabkan kematian kepada penunggang Honda EX5, Mohamed Zaili Mohamed, 44.

Kejadian berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Tun Razak, jam 1.30 pagi hari ini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM8,000 hingga RM20,000 dan penjara antara tiga tahun hingga 10 tahun serta lesen memandu dibatalkan.

Pegawai Pendakwa Abdullah Khazali yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM10,000 dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Peguam, Khairul Amin Abdullah yang mewakili pekerja kedai aksesori kenderaan itu bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana tertuduh masih muda dan tertuduh akan membuktikan tidak bersalah ketika perbicaraan pada masa akan datang.

Berita berkaitan

'Emosi emak tak stabil tengok video kemalangan' - Aishah Azman

Tak mengaku salah memandu dalam keadaan mabuk [METROTV]

'Saya hilang arah, tempat bergantung' - isteri Mohamed Zaili [METROTV]

Seret motosikal 2km

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 5:58 PM