Komputer dan telefon bimbit yang dirampas. FOTO ihsan polis
Komputer dan telefon bimbit yang dirampas. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menahan 10 lelaki China yang terbabit dalam sindiket perjudian atas talian di sebuah apartmen di Batu 9 Cheras, Kajang, hari ini.

Serbuan jam 1 tengah hari itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang Deputi Superintendan Rodney Pasla Haris bersama sepasukan pegawai dan anggota cawangan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) IPD Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, bertindak atas maklumat, polis membuat serbuan ke atas sebuah apartmen.

Menurutnya, hasil serbuan seramai 10 lelaki China berusia 20 hingga 30 tahun ditahan kerana disyaki menjalankan urus niaga judi atas talian menggunakan telefon bimbit dan komputer riba.

"Pasukan merampas satu set komputer, sembilan unit komputer riba dan 196 unit telefon bimbit.

"Siasatan mendapati sindiket terbabit dalam menganjur judi atas talian antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, siasatan awal mendapati mereka beroperasi kira-kira sebulan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian dan aktiviti seumpamanya menyalurkan maklumat kepada polis atau mana-mana balai terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 6:48 PM