YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima panggilan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana, hari ini. FOTO Instagram Istana Negara
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima panggilan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana, hari ini. FOTO Instagram Istana Negara
Raja Noraina Raja Rahim


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima panggilan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana Negara, hari ini.

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan perbualan telefon secara peribadi itu berlangsung selama 30 minit yang bermula pada jam 4 petang.

Perbincangan tertumpu kepada kerjasama dua negara dalam menangani cabaran wabak Covid-19.

"Dua pemimpin itu turut berbincang mengenai langkah-langkah memperkasakan hubungan dua hala yang sedia ada selain meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang.

"Sesi perbincangan itu julung kali antara Sultan Abdullah dan Erdogan menerusi perbualan telefon," katanya.

Dalam kenyataan sama, Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah sepatutnya mengadakan lawatan negara ke Turki selama lima hari bermula 19 April lalu namun ditangguhkan berikutan penularan wabak berkenaan.

Baginda pada 18 Disember lalu berkenan menerima kunjungan hormat Erdogan di Istana Negara sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 8:41 PM