SERAMAI 13 individu dikompaun kerana melepak di tepi Pantai Lido berhadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. FOTO ihsan polis.
SERAMAI 13 individu dikompaun kerana melepak di tepi Pantai Lido berhadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. FOTO ihsan polis.


SERAMAI 13 individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzil Mohd Zain berkata, Ops Bersepadu itu dijalankan pada 11 malam di sekitar kawasan Pantai Lido berhadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Beliau berkata, pemantauan dibuat selama 15 minit sebelum polis dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memeriksa 13 kereta diparkir di bahu jalan serta orang awam yang sedang berkumpul dan melepak di tepi pantai itu.

"Hasil soal siasat awal mendapati mereka gagal memberi alasan munasabah semasa ditahan dan gagal mematuhi arahan PKPB.

"Malah, mereka mengaku hanya bersiar-siar dan memberi alasan duduk lepak di tepi pantai itu," katanya dalam kenyataan dimuatnaik di Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, malam ini.
Mohd Padzil berkata, semua 13 individu terbabit dibawa ke IPD JBS untuk dikompaun kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau berkata, mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas selesai urusan kompaun.

"Justeru itu, polis menasihatkan orang ramai agar mematuhi SOP digariskan dalam PKPB.

"Kami akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan taman rekreasi dan lokasi tumpuan orang ramai dalam daerah JBS bagi mengelak perhimpunan demi memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 11:45 PM