Siti Rohana Idris


WANITA warga emas ditemui rentung dalam kebakaran di Jalan Lama Wakaf Bharu, di Tumpat, pagi tadi.

Mangsa, Zainab Abdul Rahman, 76, yang dipercayai terperangkap dalam rumah terbabit ditemui anggota bomba di ruang tamu, jam 5.50 pagi.

Seorang saksi yang juga jiran, Nordin Marajab, 41, berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 4.30 pagi apabila seorang cucu mangsa mengetuk pintu rumahnya sambil menjerit memberitahu rumah mereka terbakar.

"Saya melihat api sudah marak di bahagian ruang tamu dan semua penghuni iaitu anak dan empat cucu termasuk mangsa sudah keluar dan menyelamatkan diri di rumah saya.

"Tidak lama kemudian, mangsa tiba-tiba masuk semula ke rumahnya dipercayai untuk mengambil barang dan kami semua tidak sempat untuk menahannya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

KEADAAN rumah mangsa. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN rumah mangsa. FOTO Ihsan Bomba

Sementara itu Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Kanan Bomba II, Syobirin Abd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.32 pagi.

Beliau berkata, susulan itu, 28 anggota dari tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, Tumpat dan Wakaf Bharu dikejarkan ke lokasi.

"Api dapat dikawal 12 minit kemudian dan anggota kami menemui mangsa pada 5.50 pagi.

"Anak mangsa yang berusia 30-an mengalami kecederaan di bahagian tangan

kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya.

Beliau berkata, api dapat dipadam sepenuhnya pada 6.33 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 8:29 AM