Pasangan suami isteri tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan memperdagangkan wanita. FOTO AMIR MAMAT
Pasangan suami isteri tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan memperdagangkan wanita. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


SUAMI isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memperdagangkan wanita untuk tujuan eksploitasi seks.

Tertuduh, Yong Yeow Hin, 49, dan isterinya yang juga warga Vietnam, Le Thi Kim Anh, 39, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa bersama-sama memperdagangkan lima wanita warga Vietnam untuk tujuan eksploitasi seks.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah kafe dan pangsapuri di Taman Kenanga Mewah, Seksyen 3 di sini, kira-kira jam 9.40 malam pada 12 Mei lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Andrew Lourdes memohon jaminan rendah diberikan kepada anak guamannya dengan alasan mereka mempunyai anak.

Terdahulu, prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh lelaki pernah disabitkan kes sama sebelum ini dan isterinya pula adalah warga asing.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang serta pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 3:03 PM