LAPORAN HARIAN METRO
LAPORAN HARIAN METRO
Zuhainy Zulkiffli


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membeku semua permohonan baharu lesen minuman keras di ibu negara.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, tindakan terbabit adalah antara langkah bijak dan berkesan bagi menangani isu pemandu mabuk di jalan raya.

Katanya, langkah berkenaan juga wajar menjadi contoh dan diikuti pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negara ini.

"CAP juga mencadangkan pihak berkuasa termasuk PBT membuat sekatan jalan raya berhampiran kelab malam atau pusat hiburan yang dibuka sehingga awal pagi.

"Dengan cara itu, pihak berkuasa dapat menahan pemandu mabuk serta merta," katanya ketika dihubungi di Georgetown hari ini.

Menurutnya, kejadian orang awam maut dirempuh pemandu mabuk dalam kemalangan jalan raya semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini dan mereka seakan ingkar dengan undang-undang.

Oleh itu katanya, tindakan DBKL diharap dapat mengekang kejadian seumpama itu terjadi lagi.

Berita berkaitan

DBKL terawal beku lesen minuman keras

Sedia beku pengeluaran lesen jual arak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 3:28 PM