ANTARA pemandu yang diperiksa. FOTO ihsan Polis
ANTARA pemandu yang diperiksa. FOTO ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


EMPAT lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada ditetapkan dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di sekitar daerah Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 25 hingga 55 tahun itu ditahan dalam operasi bermula 10 malam hingga 2 pagi di sekitar daerah ini.

Menurutnya, 180 pengguna jalan raya dan 225 kenderaan diperiksa dalam operasi itu.

"Empat individu yang ditahan itu selepas pemeriksaan mendapati mereka memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada ditetapkan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 45 (a) 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, fokus utama operasi ini adalah untuk membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol sehingga membahayakan dan menyebabkan kematian kepada orang lain.

"Tinjauan operasi dijalankan semalam jelas menunjukkan masih ramai pengguna jalan raya mengambil minuman keras sebelum memandu atau menunggang kenderaan.

"Tindakan ini dilihat membahayakan diri sendiri dan orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 3:29 PM