Mahaizura Abd Malik


MULAI 10 Jun ini, petugas dan penggiat seni tanah air boleh menjalankan semua aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan yang ditangguhkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penggiat industri terbabit boleh melakukan aktiviti penggambaran dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan.

"Sebelum ini Mesyuarat Khas Menteri-Menteri membenarkan penggambaran filem, drama, iklan dan sebagainya, jadi hari ini kita putuskan boleh memulakan operasi mereka bermula 10 Jun ini.

"Aktiviti penggambaran mesti mematuhi SOP (seperti) diputuskan dalam mesyuarat itu terutama menjaga penjarakan sosial dan tidak boleh perhimpunan ramai dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, timbul permintaan daripada kalangan penggiat industri terbabit yang mahu kerajaan menetapkan tarikh bila mereka boleh beroperasi seperti biasa.

AKTIVITI penggambaran filem boleh beroperasi 10 Jun ini.
AKTIVITI penggambaran filem boleh beroperasi 10 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 3:46 PM