Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Mahkamah juga memerintahkan Abdul Halim Mohd, 62, menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama setahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di kawasan kompleks di Kampung Tiong, Kuala Terengganu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama ke atas mangsa di dalam lif kompleks berkenaan dengan kesalahan dilakukan antara 12 tengah hari hingga 12.45 tengah hari pada 2 Mac 2019.

Tertuduh juga melakukan perkara yang sama terhadap mangsa di hadapan lif di kompleks sama pada 12.51 tengahari pada hari sama.

Nooriah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan ketiga.

Beliau memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 3 Mac lalu selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama satu tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa memaklumkan kepada ibunya bahawa tertuduh yang tidak dikenalinya memegang dan menarik tangannya ke tangga kecemasan ketika dia menunggu lif untuk ke rumah bapa saudaranya di lokasi kejadian.

Mangsa memaklumkan tertuduh bertindak menanggalkan seluarnya sebelum bertindak melakukan amang seksual sebelum mangsa menjerit dan melarikan diri kerana ketakutan.

Sebaik pintu lif terbuka, mangsa terus masuk ke dalam lif diikuti tertuduh sebelum tertuduh sekali lagi melakukan kesalahan sama namun hanya mangsa hanya mendiamkan diri kerana takut dan tidak boleh melarikan diri.

Apabila lif sampai di tingkat rumah bapa saudaranya, mangsa segera keluar lif untuk melarikan diri namun dikejar tertuduh dan tertuduh sekali lagi melakukan amang seksual terhadapnya di hadapan lif sebelum tertuduh masuk ke dalam lif dan beredar.

Siasatan mendapati tertuduh yang pernah menjalani hukuman penjara atas lima kesalahan mengikut Seksyen 345 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan pada 2003 apabila ke sebuah lokasi untuk menemani isterinya yang bekerja sebagai tukang sapu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 4:07 PM