Azrul Affandi Sobry


BUKAN sehari dua tapi sudah hampir tiga bulan anak-anak terkurung tidak dapat ke mana-mana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sampailah ia dilonggarkan ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Meskipun sudah banyak sektor dibuka dan banyak aktiviti dibenarkan, kebanyakan ibu bapa masih kurang berani membenarkan anak beriadah di luar kerana tidak mahu sebarang risiko. Apatah lagi apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering mengingatkan bahawa kanak-kanak tergolong dalam kelompok berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 sekiranya terdedah kepada rantaian penularan wabak pandemik itu.

Justeru, dalam tempoh yang panjang ini, dengan kehidupan baharu yang anak-anak terpaksa lalui, tidak dapat dibayangkan bagaimana keluh-kesah jiwa mereka kerana sebelum ini mereka dapat bersama rakan dan bermain.

MELAYARI Internet antara aktiviti anak-anak di rumah. FOTO Azrul Affandi Sobry
MELAYARI Internet antara aktiviti anak-anak di rumah. FOTO Azrul Affandi Sobry

Namun, sebenarnya, selain pelbagai aktiviti yang disediakan guru sekolah melalui pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) secara dalam talian, banyak aktiviti lain yang sedikit sebanyak mengubat jiwa lara anak-anak di rumah.

Seperti anak wartawan sendiri, permainan konsul video dan aktiviti melayari video di Internet menjadi rutin harian selain turut diisi dengan kreativiti menghasilkan saluran Youtube sendiri.

Meskipun terkadang rasa rimas juga melihat mereka sering menghabiskan masa dengan telefon bimbit di tangan, namun menyedari betapa jiwa kanak-kanak mereka perlukan hiburan, rela dalam terpaksa, dibiarkan juga.

BERMAIN permainan video bagi mengisi masa. FOTO Azrul Affandi Sobry
BERMAIN permainan video bagi mengisi masa. FOTO Azrul Affandi Sobry

Mujur ada yang boleh gunakan masa dengan belajar sesuatu yang bermanfaat seperti menghasilkan video, sekurang-kurangnya kemahiran baru itu boleh memberi peluang besar kepada kerjaya mereka apabila dewasa.

Anak wartawan, Muhammad Daniel Haikal Azrul Affandi serta adiknya, Muhammad Danish Adam Azrul Affandi mewujudkan saluran Youtube, Danboy Studio untuk dimuatkan dengan lakonan spontan mereka.

MUHAMMAD Daniel Haikal. FOTO Azrul Affandi Sobry
MUHAMMAD Daniel Haikal. FOTO Azrul Affandi Sobry

Menjengah ke rumah lain, pengusaha taska, Nor Suriati Abd Kahar berdepan situasi serupa kerana sebelum PKP, anak-anaknya sering mengisi hari minggu dengan aktiviti riadah di luar rumah.

"Sebelum PKP, mereka selalu berjumpa kawan dan apabila hari minggu, ada saja aktiviti yang kami buat seperti ke taman permainan dan pasar raya.

"Namun, sejak PKP, semuanya terkurung di rumah dan apa lagi yang mampu mengisi masa mereka selain bermain permainan di telefon bimbit. Penat juga melayan kerenah mereka kerana selepas penat bermain, nak makan pula.

NOR Suriati. FOTO Azrul Affandi Sobry
NOR Suriati. FOTO Azrul Affandi Sobry

"Macam-macam perangai juga sepanjang masa mereka di rumah, tapi itu cukup baik kerana saya dapat luangkan banyak masa dengan mereka, melayani anak-anak lebih lama berbanding sebelum ini.

"Berebut telefon, menangis dan mengadu lapar itu perkara biasa tapi saya rasa mereka tidak pun bosan kerana ada saja aktiviti yang mereka boleh buat di rumah," katanya sambil sesekali melayan anak kecil yang menangis berebut telefon bimbit dengan dua kakaknya.

Bagi Nor Hawa Abd Rafar pula, PKP tidak banyak mengubah rutin anaknya kerana mereka memang jenis yang suka tinggal di rumah dan jarang melakukan aktiviti di luar.

"Cuma bezanya apabila masa mereka di rumah lebih lama kerana tidak ke sekolah, pelbagai aktiviti perlu dibuat. Si kakak, Nor Alysa Hsaad bagus sikit sebab dia suka baca novel.

NOR Hawa. FOTO Azrul Affandi Sobry
NOR Hawa. FOTO Azrul Affandi Sobry

"Dalam PKP, sudah banyak novel dihabiskan. Bosan dengan novel, mereka layan filem di Netflix. Ada saja aktiviti yang mereka boleh buat dan tidaklah nampak bosan sangat," katanya.

Apapun, pasti sekali semua keluarga ada cara berbeza dalam menangani anak mereka sendiri kerana sekiranya PKPB ditamatkan sekalipun, dengan normal baharu yang akan diteruskan, pastinya anak-anak akan lebih lama di rumah.

Kepelbagaian aktiviti itu perlu bagi memastikan keresahan jiwa anak-anak terubat, namun tidak pula terlalu diisi dengan kegiatan tidak berfaedah.

ANAK banyak meluangkan masa bermain permainan di telefon bimbit. FOTO Azrul Affandi Sobry
ANAK banyak meluangkan masa bermain permainan di telefon bimbit. FOTO Azrul Affandi Sobry

Inilah masa terbaik kepada ibu bapa untuk mencari alternatif terbaik supaya masa yang ada dapat diisi dengan penuh manfaat tetapi dalam masa sama tidak pula mengenepikan kehendak jiwa anak-anak. Kita tetap bersama jaga kita.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 8:11 PM