SYAZANA MOHD AZRUAN. FOTO ihsan Syazana Mohd Azruan
SYAZANA MOHD AZRUAN. FOTO ihsan Syazana Mohd Azruan
Redzuan Muharam


SELEPAS menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Syazana Mohd Azruan, 26, mengambil langkah berani dengan memulakan perniagaan sendiri dalam perniagaan kopi.

Sudah tentu cabaran ditempuhinya bukan mudah kerana sekadar menggunakan platform media sosial untuk menjual produknya, selain menganggap dirinya masih mentah dalam dunia perniagaan.

Saban hari, bagaikan satu rutin biasa buat Syazana untuk bersengkang mata mengadap aplikasi, Instagram untuk memasarkan produk dan mencari idea menarik bagi dipersembahkan kepada pelanggan.

Kini, Syazana bergelar usahawan kopi dikenali Organic Green Coffee yang dipasarkan secara dalam talian dan sehingga kini mempunyai 11,400 pengikut di Instagram bernama @nanajii.

Berkongsi kisahnya, Syazana berkata, perniagaan itu dijalankan sejak Mei 2018 ketika dia masih bertugas sebagai akauntan sebuah syarikat pengurusan hartanah di Pulau Pinang.

Selepas tujuh bulan menjalankan perniagaan, Syazana berkata, dia mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai akauntan bagi memberi tumpuan kepada perniagaannya.

SYAZANA bersama ibunya ketika menunaikan umrah. FOTO ihsan Syazana Mohd Azruan
SYAZANA bersama ibunya ketika menunaikan umrah. FOTO ihsan Syazana Mohd Azruan

"Tiga bulan pertama adalah tempoh yang paling sukar kerana saya terlalu memikirkan banyak perkara hingga mengalami imsomnia, tetapi keadaan bertambah baik selepas itu.

"Kini saya mempunyai empat stokis dan 60 ejen. Rezeki menyebelahi selepas dapat membawa ibu dan ayah menunaikan umrah Mei tahun lalu selepas genap setahun menjalankan perniagaan," katanya ketika ditemui Harian Metro di Puchong, di sini.

Menceritakan mengenai dirinya, diejek kenalan rapat hingga hilang keyakinan diri antara pengalaman pahit dilalui Syazana hanya kerana mengalami gangguan tangan bergetar (hand tremor).

Syazana yang juga anak bongsu daripada dua beradik itu tidak menyedari dirinya mengalami masalah itu sehingga berusia 12 tahun.

Namun, kekurangan itu tidak sedikit pun menjadi halangan buat Syazana, sebaliknya ia umpama 'senjata' untuknya berjaya.

Buktinya, anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang itu menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) bagi pengajian Diploma Kewangan UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Ijazah Sarjana Muda Kewangan UiTM Arau, Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 9:19 PM