MOHD Ali Rustam. FOTO Arkib NSTP.
MOHD Ali Rustam. FOTO Arkib NSTP.


BEKAS Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok untuk menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ketujuh.

Istiadat pengurniaan berkenaan akan berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 2 petang.

Sumber memaklumkan, istiadat berkenaan akan berlangsung secara ringkas dengan hanya dihadiri beberapa pemimpin negara dan negeri termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, sejurus selepas itu, Mohd Ali, 71, juga dijangka dianugerahi darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun.

Katanya, satu istiadat mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ketujuh akan diadakan di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, pada 10 pagi, Jumaat ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

"Saya difahamkan, nama Tan Sri (Mohd Ali) adalah satu-satunya yang diangkat dan dipersembahkan kepada Seri Paduka Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) untuk diperkenan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu.

"Keputusan pemilihan itu dibuat selepas pihak istana meneliti beberapa nama calon lain yang diketengahkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, spekulasi yang mengaitkan nama Mohd Ali untuk menjadi anak Melaka pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri ketujuh, bertiup kencang khususnya di media sosial dan portal berita bagi menggantikan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Ia susulan tempoh perkhidmatan Mohd Khalil akan tamat pada 4 Jun ini.

Mohd Khalil, 82, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam pada 2 Jun 2004 dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 4 Jun 2004 bagi menggantikan Tun Syed Ahmad Shahabudin.

Khidmat beliau untuk penggal keempat disambung semula pada 27 Mei 2016 sehingga 4 Jun ini.

Sementara itu, sumber lain memberitahu NSTP, Istana Melaka kini hampir menyempurnakan kerja mengemas barangan peribadi Mohd Khalil untuk dipindah ke beberapa lokasi termasuk di kediamannya di Kuala Lumpur.

Katanya, selain itu, kerja-kerja mengemas pejabatnya di Pejabat TYT juga hampir selesai.

"Kerja-kerja itu sudah dilaksanakan sejak beberapa minggu lalu dan dijangka selesai sepenuhnya dalam beberapa hari lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 11:49 AM