Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PESAWAH, anaknya dan pemandu lori cedera di badan selepas bergaduh dengan menggunakan parang dan pisau dipercayai kerana dendam lama.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, kejadian berlaku di Kampung Cik Ok, Simpang Empat pada 11.30 pagi semalam membabitkan pesawah berusia 55 tahun, anak lelakinya 18 tahun dan pemandu lori, 36.

Katanya, pesawah dan anaknya lelakinya patah tangan kiri dan luka di badan, manakala pemandu lori itu cedera di kaki.

"Kejadian dipercayai bermula apabila pesawah, anak lelaki dan dua anak saudaranya dalam perjalanan pulang dari rumah seorang anaknya di kampung berkenaan sebelum menyedari kereta mereka diekori lori dipandu lelaki berkenaan.

"Suspek kemudian menahan kereta mangsa di tepi jalan dan membaling bata ke arah mereka yang memaksa mangsa (pesawah) keluar bagi menghalang perbuatan itu.

"Mereka bergaduh dan anak mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu namun dicederakan dengan pisau di tangan kanan dan kiri oleh suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.

ANAK pesawah berusia 18 tahun (baju merah tidak berlengan) dibebaskan dengan jaminan polis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
ANAK pesawah berusia 18 tahun (baju merah tidak berlengan) dibebaskan dengan jaminan polis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.

Wari berkata, anak mangsa yang berang kemudian mengeluarkan parang daripada kereta dan menetak kaki kiri suspek sebelum pergelutan itu terlerai sendiri.

"Suspek beredar dan sempat mengeluarkan kata-kata ugutan. Mangsa kemudian ke balai polis untuk membuat laporan.

"Siasatan awal mendapati suspek berdendam dengan mangsa sejak 16 tahun lalu apabila mangsa didakwa membongkar pembabitan suspek dan rakan dalam kejadian curi beras di sebuah kilang," katanya.

Wari berkata, semua mereka dirawat di Hospital Tuanku Fauziah termasuk suspek yang perlu menjalani rawatan pakar kerana kecederaan di kaki.

Menurutnya, suspek akan direman selepas dibenar keluar hospital, manakala anak mangsa yang ditahan semalam untuk siasatan, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 12:51 PM