MOHAMAD Nor Anuar.
MOHAMAD Nor Anuar.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


JASA dan bantuan dihulurkan rakyat Malaysia ketika seorang graduan perubatan berdepan kemelut kewangan untuk melunaskan bayaran pengajian mencecah RM220,000 tidak akan dilupakan.

Justeru, selepas berjaya menamatkan pengajian, Mohammad Nor Anuar Razali, 25, berhasrat untuk membalas jasa dengan menawarkan diri sebagai barisan hadapan ketika negara kini masih bergelut dengan Covid-19.

Menurutnya, kini tiba masa untuknya menabur bakti kepada negara dan rakyat Malaysia yang membantu menjelaskan yuran ketika melanjutkan pengajian Ijazah Perubatan dan Pembedahan Universiti Zagaziq, di Mesir.

"Saya sudah melengkapkan pengajian Januari lalu dan kini hanya menunggu universiti mengurniakan ijazah yang dijangka selesai awal tahun depan.

"Permohonan penempatan di hospital akan dibuat sebaik ijazah diterima daripada universiti, namun berlaku kelewatan kerana Covid-19 di Mesir menyebabkan universiti tidak beroperasi sepenuhnya.

"Namun, buat sementara waktu saya bersedia jika dipanggil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membantu barisan hadapan," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dengan ilmu yang diperoleh sepanjang enam tahun pengajian di Mesir akan digunakan bagi membantu petugas kesihatan lain menjalankan rawatan kepada pesakit Covid-19.

Katanya, ini adalah masa yang sesuai untuk mempraktikkan ilmu perubatan yang dipelajari dan sebagai persediaan awal apabila dipanggil bertugas kelak.

"Terima kasih kepada Harian Metro yang membantu menyiarkan kisah kesempitan kewangan yang dihadapi seterusnya menerima bantuan dari pelbagai pihak sehingga berjaya menamatkan pengajian.

"Kini tiba masa untuk saya berbakti kepada negara dan rakyat Malaysia sebagai penghargaan atas bantuan yang dihulurkan," katanya.

Kisah Mohammad Nor Anuar yang berdepan kesempitan kewangan untuk melunaskan yuran pengajian disiarkan Harian Metro tahun lalu.

Menerusi artikel itu, pemuda berasal dari Shah Alam itu akhirnya berjaya mengumpul dana dan membayar baki yuran pengajian hasil sumbangan orang ramai dan pelbagai pihak lain.

Berita berkaitan:

  • Buntu nak lunaskan yuran pengajian
  • Mana nak cari RM160,000?
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 1:00 PM