Tertuduh diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini. FOTO Amran Yahya.
Tertuduh diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini. FOTO Amran Yahya.


PEKERJA pembersihan sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini atas dua tuduhan membuat dan menyiar kenyataan berbaur fitnah terhadap Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad di Facebook (FB), Mac lalu.

Tertuduh, Norazman Ahmad, 57, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, Norazman didakwa membuat dan menyiar suatu pernyataan atau khabar angin (komen) dengan niat untuk menyebabkan atau yang akan menyebabkan rasa takut atau bimbang kepada orang awam, yang mana-mana orang boleh didorong untuk melakukan suatu kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Perbuatan itu dilakukan sekitar Kuala Klawang, Jelebu antara 11 hingga 2.30 pagi, pada 22 dan 23 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan pilihan, dia didakwa secara sedar menggunakan kemudahan rangkaian FB berserta dengan nombor telefon miliknya untuk membuat penghantaran komen yang dibaca dan dilihat oleh Mohd Fadzil Abdul Ghani, 53, dengan niat menyakitkan hati, menganiaya serta mengugut atau mengganggu.

Kesalahan itu dilakukan pada tarikh dan masa sama di sekitar Kuala Klawang, Jelebu, yang didakwa mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi Multimedia 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan dan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Tertuduh merayu jaminan diberikan atas alasan menanggung isteri dan ibunya yang uzur.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 1:28 PM