HAMA Hakim (kiri) sedang mengadakan perbincangan dengan peniaga pasar malam di kawasan tempat letak kereta Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini. FOTO Baharom Che Bakar.
HAMA Hakim (kiri) sedang mengadakan perbincangan dengan peniaga pasar malam di kawasan tempat letak kereta Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini. FOTO Baharom Che Bakar.
Baharom Bakar


PASAR malam di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dibenarkan beroperasi di kawasan tempat letak kenderaan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak mulai Jumaat ini.

Ia adalah pasar malam pertama yang dibenarkan beroperasi di Terengganu selepas lebih tiga bulan dihentikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, peniaga dan pengunjung diminta sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadli Yusoff berkata, pasar malam peringkat percubaan itu akan beroperasi mulai 3 hingga 7 petang.

"Hanya satu laluan masuk di sediakan kepada pengunjung untuk membeli belah di pasar malam berkenaan dan kedudukan gerai jualan akan dijarakkan sekurang-kurangnya satu meter seperti ditetapkan oleh KKM.

"Kita minta pengunjung dan peniaga sentiasa mematuhi SOP terutamanya tidak membawa kanak-kanak dan warga emas ke pasar malam berkenaan," katanya ketika ditemui selepas memantau persiapan akhir termasuk pengukuran jarak kedudukan gerai peniaga di kawasan tempat letak kereta di SSMZA, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil dan Pengarah MBKT cawangan Utara, Hama Hakim Mahyudi Awang.

Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak mengumumkan kerajaan negeri membenarkan pasar malam beroperasi, selepas ditutup lebih tiga bulan berikutan PKP.

Dr Alias dilaporkan berkata, pembukaan pasar malam itu adalah di peringkat percubaan dan akan diperluaskan ke seluruh negeri jika tiada kes penularan wabak Covid-19 yang baru.

Fadli berkata, MBKT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta KKM akan bekerjasama untuk memastikan setiap peniaga dan pengunjung sentiasa mematuhi SOP ditetapkan.

Mengulas mengenai pemilihan tapak pasar malam di kawasan tempat letak kereta di SSMZA, Fadli berkata, lokasi itu amat sesuai kerana penjarakan gerai boleh dilakukan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 1:57 PM