KEDAI makan di Perlis dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam. FOTO NSTP
KEDAI makan di Perlis dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam. FOTO NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PERLIS membenarkan premis penjualan makanan untuk beroperasi sehingga jam 12 tengah malam sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebenaran itu diberikan kepada semua jenis premis perniagaan makanan berlesen dengan waktu bermula operasi adalah pada jam 7 pagi.

"Jenis premis yang diberikan kebenaran terbabit adalah restoran, medan selera, gerai makanan dan penjaja yang terdiri daripada pemegang lesen kereta

sorong, meja jualan dan penjaja bergerak.

"Ia juga termasuk pemberian kebenaran kepada pelanggan untuk menjamu selera di kedai makan, membungkus makanan dan menggunakan khidmat pandu lalu di restoran segera yang khusus menyediakan perkhidmatan berkenaan," katanya.

Katanya, meskipun kelonggaran itu diberikan kepada pengusaha di negeri ini, mereka ditegaskan untuk kekal mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Perintah ini berkuatkuasa sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB sehingga terdapat ketetapan baharu yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan," katanya.

Perlis, antara negeri yang direkodkan berada dalam zon hijau hingga semalam bersama Pulau Pinang dan Kelantan sejak 20 Mei lalu, ini berikutan tiada kes aktif dicatatkan di kawasan berkenaan sepanjang tempoh dua minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 2:44 PM