X
Hayati Ibrahim dan Suraya Roslan


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 56 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 46 daripadanya direman, manakala 10 lagi individu diberi jaminan polis.

"PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 88 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB.

"Bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM membuat 76,348 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB.

Katanya, sebanyak 3,903 Pasukan Pematuhan membabitkan 19,615 anggota membuat pemantauan.

"PDRM juga mengadakan 138 Sekatan Jalan Raya (SJR) Rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 267,373 kenderaan berbanding 283,677 kenderaan hari sebelumnya.

"Sebanyak 93 kenderaan diarah patah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi adalah Pahang (38), Melaka (27) dan Selangor," katanya.

ANGGOTA polis dan ATM mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di susur masuk Bukit Mahkota berhampiran R&R Nilai. FOTO Saifullizan Tamadi.
ANGGOTA polis dan ATM mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di susur masuk Bukit Mahkota berhampiran R&R Nilai. FOTO Saifullizan Tamadi.

Beliau sekali lagi turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan.

"Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik Covid-19," katanya.

Selain itu, beliau berkata, seramai 49,206 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara sudah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu.

Menurutnya, sehingga hari ini, seramai 38,341 individu sudah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

Mengenai penghantaran pulang penuntut, Ismail Sabri berkata, seramai 915 penuntut sudah dihantar pulang melalui tujuh penerbangan, semalam.

"Tiada pergerakan penghantaran pelajar pulang dijadualkan hari ini.

"Sejak 27 April hingga hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah menghantar pulang 57,729 penuntut ke pangkuan keluarga masing-masing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 3:28 PM