(dari kiri) AMINOLHUDA Hassan, Syed Ibrahim Syed Noh dan Liew Chin Tong. FOTO Arkib NSTP
(dari kiri) AMINOLHUDA Hassan, Syed Ibrahim Syed Noh dan Liew Chin Tong. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


PAKATAN Harapan (PH) Johor menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini yang memberi amaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri itu terus berlaku.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH), Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, PH Johor mengambil maklum dan menjunjung titah Sultan Ibrahim.

"PH Johor menegaskan komitmen serta keyakinan penuh terhadap amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang menjadi tulang belakang kepada negeri dan negara kita.

"Kami akan sentiasa berpegang teguh prinsip ini dalam apa jua keadaan termasuklah dalam mendepani situasi politik semasa yang sedang kita lalui ketika ini," kata kenyataan itu.

Sultan Ibrahim bertitah, amat kecewa dengan kemelut politik yang berlaku di negeri itu.

"Apabila ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka (wakil rakyat) langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat," titah baginda.

Berita berkaitan

'Kalau ada lagi perebutan kuasa, saya bubar DUN' - Sultan Johor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 4:02 PM