MAZLAN LAZIM
MAZLAN LAZIM
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 87 kes penipuan membabitkan penjualan pelitup muka direkodkan di ibu kota ini membabitkan kerugian RM2.5 juta bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya melakukan 41 tangkapan dan sebanyak 24 kes sudah dituduh di mahkamah sehingga 1 Jun lalu.

"Sejak wabak Covid-19 melanda dunia, pelitup muka, sarung tangan, cecair pembasmi kuman serta beberapa barangan lain mendapat permintaan tinggi menyebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan penipuan penjualan secara dalam talian.

"Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Kuala Lumpur menunjukkan terdapat 87 kes penipuan penjualan pelitup muka membabitkan kerugian RM2.5 juta dicatatkan bagi tempoh berkenaan.

"Selain itu, seramai 41 individu ditahan dan 24 kes terbabit sudah dituduh di mahkamah sehingga 1 Jun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dengan membeli barangan secara dalam talian daripada penjual sah.

"Buat semakan senarai nombor akaun di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semak/mule/ atau semak status penjual menerusi http://biztrust.ssm.com.my.

"Elakkan berurusan di laman sesawang yang mencurigakan dan semak komen daripada pembeli lain selain jangan terpedaya dengan tawaran menarik serta murah tanpa melihat secara fizikal," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terperinci sebelum melakukan sebarang transaksi dan pembayaran.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:05 PM