Kerja memusnah pokok ketum dijalankan diatas tanah milik kerajaan di FELDA Lui Selatan Dua.
Kerja memusnah pokok ketum dijalankan diatas tanah milik kerajaan di FELDA Lui Selatan Dua.
Abnor Hamizam Abd Manap


POLIS melaksanakan pemusnahan 300 pokok ketum di atas tanah milik kerajaan di Felda Lui Selatan Dua, Jempol, hari ini.

Operasi itu turut dibantu pasukan penguatkuasa Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, tindakan pemusnahan pokok ketum di atas tanah seluas 0.2 hektar itu mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

"Kesemua pokok ketum dipotong dan dicantas sebelum disembur dengan racun bagi memastikan pokok tidak tumbuh semula.

"Kerja pemusnahan dilakukan kakitangan MPJL serta PDT Jempol dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairiel berkata, tindakan tegas ke atas aktiviti penanaman ketum akan terus dijalankan dengan kerjasama semua agensi berkaitan bagi memastikan daerah ini bebas daripada aktiviti penanaman ketum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:15 PM