ANGGOTA tentera memasang kawat duri bagi mengetatkan kawalan di sekitar Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ANGGOTA tentera memasang kawat duri bagi mengetatkan kawalan di sekitar Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Samadi Ahmad


PERINTAH kawalan pergerakan secara pentadbiran (Semco) di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama di Bukit Changgang, Kuala Langat adalah yang terbesar di Malaysia.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, perintah yang bermula malam tadi hingga 19 Jun ini membabitkan kawasan seluas 4,100 meter dengan pemasangan kawat duri sepanjang 4.1 kilometer.

Menurutnya, kawasan ini membabitkan tiga zon terdiri dari A,B dan C dengan 1,752 unit rumah pangsa, rumah kedai dan rumah teres.

"Keseluruhan kawasan ini diduduki 70 peratus warga tempatan, manakala baki 30 peratus warga asing," katanya pada sidang media hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman.

Sementara itu Azizan berkata, setakat hari ini sebanyak 3,000 individu sudah menjalani ujian saringan Covid-19, manakala baki 6,000 lagi dijangka diselesaikan Jumaat ini.

Azizan berkata, kira-kira 600 anggota pasukan keselamatan barisan hadapan ditugaskan di kawasan ini dan kawalan ketat dilakukan terhadap warga asing supaya mereka menjalani ujian saringan.

Menurutnya, penduduk tempatan dibenarkan keluar bersyarat termasuk dalam situasi kecemasan, manakala kedai di kawasan ini juga dibenar beroperasi bagi memudahkan mereka membeli makanan.

"Setakat ini pihak polis sedang mengenalpasti kontak rapat 20 warga asing yang disahkan positif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:25 PM