HASIL kerja tangan Azian yang mendapat tumpuan warganet.
HASIL kerja tangan Azian yang mendapat tumpuan warganet.
Faliqah Alia Radin Mohd


"IBU mula menjahit manik pada selipar untuk tampung kos rawatan yang agak mahal," kata Ben Farid Azhar Mohd Shaharuddin, 34.

Hasil kraf tangan penghidap kanser limfoma tahap empat, Azian Shaharuddin, 57, mencuri tumpuan warganet apabila perkongsian yang dibuat oleh anak sulungnya di Twitter menjadi tular.

Ben Farid yang menetap di Shah Alam mengakui dia tidak menyangka hantaran itu mendapat maklum balas baik kerana sekadar mencuba nasib untuk menolong ibunya.

"Saya cuma kongsi satu keping gambar sebab ibu baru berjinak-jinak dalam perniagaan ini.

"Bagaimanapun, saya rasa bersyukur apabila orang ramai tak berhenti DM (direct message) saya di Twitter. Ibu sangat gembira sebab ramai minat hasil kerjanya itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Ben Farid, ibunya mula meminati hasil kraf tangan jahitan manik dan 'cross stich' sejak zaman mudanya.

"Disebabkan sekarang banyak masa terluang, saya cadangkan untuk menjual hasil tangannya itu.

"Ia secara tidak langsung dapat membantu tampung kos perubatannya. Ibu akan buat kraf tangan itu atas permintaan sahaja sebab dia pun tak sihat sangat," katanya.

AZIAN SHAHARUDDIN
AZIAN SHAHARUDDIN

Pegawai Khidmat Pelanggan itu meluahkan ibunya didiagnos sebagai pesakit kanser limfoma sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, ibunya yang pernah bekerja dalam bidang pemasaran juga menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Waktu doktor maklum ibu hanya ada sembilan bulan (untuk hidup), saya tak kuat nak terima hakikat sebab saya sangat rapat dengan ibu.

"Alhamdulillah, semangat ibu kuat. Sampai sekarang ibu masih lagi dipanjangkan usia. Ayah pula sudah meninggal kerana sakit jantung pada 2001 lalu," katanya.

Katanya, selain ibu, dia juga menjaga nenek dan adik perempuannya sejak awal tahun lalu.

"Adik tak boleh berjalan sebab ligamen kaki terkoyak sejak dia jatuh pada awal tahun lalu," katanya.

Perkongsian Ben Farid yang mempromosikan kraf tangan ibunya menerima lebih 8,200 ulang kicau dan 3,500 tanda suka.

"Kami terima sebanyak 18 tempahan sebab baru sahaja mula perniagaan ini. Saya harap makin ramai yang sudi untuk membuat tempahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:44 PM